Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kemaman dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Dungun (MBDD) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Dungun telah menjalankan program Belia Jiwa Merdeka (Berkayak) 2020 dengan tema Hidup Sihat Bebas Dadah pada 12 September 2020. Program berkenaan dijalankan dengan menggunakan peruntukkan Inisiatif bersepadu menangani masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial di kawasan yang berisiko tinggi iaitu kawasan Kuala Dungun.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 150 orang peserta serta komuniti Kuala Dungun. Program ini dibahagi kepada dua aktiviti utama iaitu berkayak dari sungai Delong ke Jeti Kuala Dungun dengan jarak sejauh 24 km dan aktiviti memasak bubur asyura yang melibatkan penyertaan 6 komuniti kampung sekitar Kuala Dungun.
Penglibatan para belia dan masyarakat dalam menjayakan cara hidup sihat melalui berkayak serta aktiviti-aktiviti komuniti adalah merupakan salah satu langkah untuk memastikan mereka tidak melibatkan diri dengan penyalahgunaan dadah atau pelencongan sosial yang boleh memberikan kesan negatif terhadap kemajuan serta kelestarian kehidupan. Pihak ADTEC Kemaman berpeluang memberikan taklimat dan menjalankan kempen-kempen kesedaran tentang keburukan serta kesan negatif sisi kehidupan mereka yang terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah, substan atau aktiviti pelecongan sosial.
Program-program yang telah disusun dan dijalankan secara santai ini dapat mendekatkan peserta serta komuniti yang terlibat untuk berbicara dan meluahkan pendapat serta mendengar penerangan-penerangan yang diberikan tentang bahaya dan kesan-kesan kerosakan serta implikasi buruk yang diakibatkan oleh amalan hidup yang songsang melalui penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah, substan atau leka dengan kegiatan pelencongan sosial. Mereka ditekankan untuk sentiasa berfikiran positif serta menjadi mata dan telinga kepada AADK Daerah Dungun bagi mempromosikan cara hidup sihat dan memastikan komuniti sekitarnya menjauhkan diri daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak mendatangkan faedah serta merosakkan masa depan mereka.
Program-program seperti ini hendaklah dipergiatkan dan perlu sentiasa diadakan secara berterusan untuk memastikan masyarakat serta komuniti Kuala Dungun sentiasa berfikiran positif dan membolehkan kehidupan mereka berkembang dengan baik selari dengan perkembangan kemajuan negara.