Buat julung kalinya, ADTEC Kemaman melancarkan kursus persijilan profesional Penjaga Jentera Elektrik Sekatan B0 Sepenuh Masa di bawah Program Peneraju Skil Chargeman 2019/2020 yang bermula pada 28 Jan 2020 sehingga 29 Jun 2020 di Bengkel Teknologi Elektrik Kuasa. Seramai 10 orang pekerja industri telah terpilih sebagai perintis program ini. Pemilihan dibuat menerusi temuduga khas oleh pihak ADTEC selain peserta juga wajib melepasi syarat kelayakan ketat ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST). Kesemua perintis yang terpilih berpengalaman sebagai Penjaga Jentera A4 melebihi 2 tahun.
Para perintis program merupakan pekerja industri yang komited dan telah diberikan kebenaran khas oleh pihak majikan masing-masing untuk bercuti sepenuh masa selama 6 bulan. Mereka ditaja sepenuhnya oleh penyedia dana Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputra (YPPB) yang akan membiayai kos latihan meliputi yuran kursus, penginapan, makan minum dan elaun saku berjumlah RM22,695.00 per peserta.
Selama tempoh 6 bulan tersebut, kesemua perintis akan berkampung di ADTEC Kemaman, dan melalui rutin kehidupan sama seperti pelajar ADTEC sepenuh masa yang lain. Pihak penaja YPPB mensasarkan setiap perintis akan mendapat peningkatan pendapatan/gaji sebanyak 20% daripada gaji asal mereka dalam tempoh 6 bulan selepas terampil/lulus peperiksaan.
Pihak ADTEC Kemaman mendoakan kesemua peserta akan menghabiskan latihan dan lulus peperiksaan ST dengan jayanya. Semoga visi pihak penaja YPPB untuk meningkatkan taraf hidup dan kerjaya golongan bumiputra yang mengikuti program ini tercapai. Pihak ADTEC selaku penyedia latihan bersedia untuk terus bekerjasama dangan pelbagai pihak di dalam membangunkan modal insan seperti menjalankan program persijilan profesional begini, di masa akan datang demi kesejahteraan rakyat dan negara. Tahniah kepada 10 orang perintis Program B0 Sepenuh Masa yang telah terpilih!!!