Pada 8 Oktober 2020, ADTEC Kemaman telah membuat satu kunjungan ke industri di Syarikat Elektro Serve Sdn. Bhd. di Paka, Dungun, Terengganu.

Delegasi ADTEC Kemaman diketuai oleh Timbalan Pengarah (Operasi) Ts. Wan Shaiful Hasrizam dan Penolong Pengarah Unit Korporat dan Sokongan Pekerjaan En. Rizal Haizad. Turut menyertai delegasi En.Nik Mohd Faried Ketua Bahagian Teknologi Instrumentasi dan En. Syed Shafiq Ketua Bahagian Teknologi Penyelenggaraan Mekanikal. Pegawai dari Terengganu Human Resource Development Center (THRDC) En.Amir yang mewakili kerajaan negeri turut hadir mengiringi lawatan ini.

Delegasi telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Tn. Hj. Mohd Nasar. Lawatan ini secara umumnya bermatlamat untuk saling mengenali antara 2 pihak dan seterusnya menjalin hubungan industri. Namun agenda utama lawatan ini ialah untuk berkolaberasi dengan syarikat Elektro Serve iaitu dengan membekalkan sumber tenaga kerja yang dilengkapi kepakaran dan kemahiran khas yang amat diperlukan syarikat. En. Wan Shaiful pada sesi mesyuarat telah memaklumkan kepada pihak syarikat berkenaan tawaran pakej latihan khas yang boleh dibiayai oleh East Coast Economic Region (ECER). Segala kos latihan akan dibiayai sepenuhnya oleh penyedia dana, dengan skop latihan akan diberi kepada pelatih spesifik khas menepati seperti syarikat kehendaki. Pelatih yang akan diserap menyertai program ini boleh disaring oleh syarikat atau dipilih oleh institut. Calon pelatih yang disasarkan ialah belia tempatan yang masih belum bekerja dan memiliki kemahiran di bidang elektrikal atau mekanikal.

Agenda lain turut diperbincangkan ialah perkongsian kepakaran (Motor Winding), tawaran kursus jangka pendek (KJP), peluang latihan sangkut industri (LSI) dan lain-lain. Sejurus berakhir sesi perbincangan, Tn. Hj. Mohd Nasar berbesar hati membawa delegasi melawat laman operasi syarikat. Delegasi telah diberi penerangan ringkas tentang teras perniagaan syarikat dan pendedahan teknologi dan skop kepakaran yang pekerja mereka perlukan. Delegasi mendapat gambaran jelas keperluan dan kekangan yang dimaksudkan, serta melihat peluang kolaborasi yang lebih erat demi manfaat kedua-dua pihak. Semoga lawatan kali ini, menjadi titik permulaan untuk kemaslahatan semua pihak dan kemajuan industri setempat di masa akan datang. Aamiinnn…